0

Angkasawan

Aku memandang ke luar tingkap. Hitam. Sunyi. Kosong. Gelap. Hanya bintang berkelip yang mengisi latar belakang. Seluruh kru sedang sibuk membuat kajian dan kerja masing-masing; sekarang merupakan waktu rehat bagiku. Aku menarik nafas panjang sambil memikirkan betapa bernasibnya aku kerana dapat mengalami kehidupan di langit. Tentulah generasi-generasi lepas akan berasa dengki padaku, mereka hanya boleh berangan tentang eksplorasi ke angkasa lepas.

Aku terpandang ke planet di bawahku yang gelap gelita kecuali beberapa lampu dari bandar. Tak lama lagi, matahari akan terbit di negara-negara Mediterranean. Ah, pertukaran siang malam, satu fenomena terbiasa bagi kita semua tapi bagiku, tiada pemandangan yang lebih indah di dunia ini. Pancaran matahari yang menerangi laut & bukit, langit yang bertukar dari hitam ke kuning ke putih & biru, cahaya yang memberi  selepas malam yang sejuk dan awan yang menari melintasi langit. Allahuakbar, memang indah ciptaanNya.

Aku terfikir sejenak tentang orang yang hidup di bawah sana. Setiap kesusahan, kemiskinan, peperangan, kekayaan, pergaduhan, cinta, kegembiraan dan kemenangan sebenarnya tidak penting. Ia semua tidak memberi kesan kepada alam semesta yang begitu luas ini. Dari tingkap modulku, dunia seolah-olah aman. Tiada perang. Tiada pergaduhan. Hanya keamanan dan kesunyian sejauh beribu kilometer. Cuba fikir, setiap individu yang berjalan di muka bumi ini hanya setitik di dunia yang luas. Dari perspektif alam semesta yang sudah tua berbillion tahun, kehidupan kita adalah sangat pendek, sekelip mata dalam usianya Aku berasa amat kecil berbanding planet yang kita semua mendiami.

Tapi, pada waktu yang sama, setiap orang adalah sangat penting sebab kita mempunyai sesuatu yang tertanam di dalam minda kecil kita. Sebuah biji benih yang terus bercambah dan subur. Sebuah keinginan untuk belajar, mengajar, mengembara, mereka, mencipta, menolong. Kita ada potensi untuk menjadikan dunia lebih bahagia. Untuk meninggalkan kesan yang cantik di titik biru ini.

Stesen angkasa terus mengorbit bumi. Matahari yang baru kulihat terbit pun sudah menghabiskan pusingannya dari timur ke barat bagi hari ini lalu tenggelam ke belakang bumi.

Kesunyian.

Advertisements
0

Rama-rama

Aku terduduk di hadapan cermin, bercakap seorang diri.

“Mungkin dia baik, mungkin dia rajin dan kelakar. Tapi kenapa dia? Kenapa aku suka dia? Itulah antara soalan yang selalu berulang di mindaku. Bagaimanakah seseorang manusia, seperti aku, boleh ada sesuatu daya tarikan kepada manusia lain? Kenapa A suka B, C suka D, E suka F, G suka H, I suka J, K suka L, dan sebagainya? Kenapa kita tak boleh imun kepada cinta?”

“Ini pula membawa ke soalan: apakah itu cinta? Mungkin ia hanya sebuah reaksi kimia di dalam sel-sel otak kita. Ataupun cinta adalah takdir Tuhan, setiap orang mempunyai jodohnya sejak kecil lagi. Mungkin kita tak akan tahu. Kalau tengok di sekeliling kita, boleh nampak cinta di setiap tempat. Cinta seorang ibu kepada anaknya, seorang pelajar kepada gurunya, seorang budak kepada rakannya, seorang suami pada isterinya. Mungkin cinta itu hanya buatan manusia, semata-mata untuk membolehkan spesis kita terus hidup.”

“*sigh* tengok tu, dah mula bercakap seorang diri. Dah lari daripada topik. Kalaulah dia boleh dengar aku sekarang….”

Aku pandang wajahku di cermin. Apalah nak jadi dengan hidup aku.

“So. Kenapa aku suka dia? Bukannya baik sangat, layan aku pun sekali dua je. Bercakap pun kuat-kuat. Tak habis-habis tergelak ketawa. Macam orang gila.” Aku terus memandang wajahku yang muram di sebalik cermin. “Then again, aku pun orang gila sebenarnya.”

“Oh, kalau kau boleh dengar aku sekarang… Aku nak bagitahu kau; setiap kali aku bercakap dengan kau, hatiku berasa ringan, seperti dipenuhi rama-rama. Bila aku memandang wajah kau, aku hilang semua masalah dan kesedihan di dalam hidupku. Aku pun tak tahu kenapa.”

“Mungkin aku takkan tahu. Aku sebenarnya nak tanya ni, kau suka aku ke? Adakah kau dipenuhi rama-rama bila bersama aku? Ke kau tak ambil kisah pun pasal hidupku yang gelap ini? Aku rasa kau tak nak cakap denganku, seolah-olah menjauhi aku… Mungkin sebab kau malu denganku? Tak kan, sebab aku orang gila, terlalu sedih, tak pernah senyum pun. Ibu bapa aku pun jauh daripada aku.”

“Cinta. Misteri yang manusia tak akan faham. Emosi yang boleh menggembirakan tetapi menyakiti. Adakah kita jodoh? Aku rasa tak pun, tengok orang lain, bersama lalu berpisah. Agaknya kita hanya bayangan antara satu sama lain. Hanya satu mukasurat dalam buku kehidupan orang lain. Tapi, aku tak kisah. Hidup ni pendek. Baik memenuhkannya dengan beribadat, berbuat baik, menolong orang. Tapi ada sesuatu yang hilang daripada hidupku, satu bahagian puzzle yang mungkin tak akan sempurna. Kegembiraan. Mungkin kaulah pelengkap hidupku. Mungkin kau dapat membuat aku senyum.”

“Kau takkan suka aku sebenarnya… Aku gila, bising, annoying, tapi pada masa sama, aku senyap, sedih dan tiada kawan. Kau takkan faham aku. Aku pun tak faham aku!”

Ku melihat lagi wajahku di sebalik cermin. Mataku yang kebiruan kerana tak cukup tidur sudah berair. Tiba-tiba aku ternampak seseorang sedang berdiri di (doorway) aku.

Aku cemas dan kelam-kabut, cuba nak cari perkataan yang betul, tapi aku tetap bergagap. “Er…. er… umm… hi? Uhm.. k-k-kau… bila d-datang?”

Dia menjawab dengan tenang dan gembira. “Dah lama dah”

Lidahku kaku sebentar, tak tahu nak memberi respons. “Ehrm, uh… K-kau  deng-dengar ke…. aa.. urh… a-a-apa yang aku cakap ta-tadi?”

“Takpe, aku pun suka kau”

Pada saat itu juga aku pengsan. Masyaallah… apa masalah aku.

0

Surat Cinta

Kehilangan sangat menyedihkan. Terutamanya bagi seorang ibu yang kehilangan anaknya, walau sementara. Zubaidah berasa sebegini. Beliau membuka pintu bilik anaknya, Taufik. Banyak buku dan kertas yang berisi lukisan serta catatan  bersepah di lantai dan meja. Sebelum ini, Zubaidah selalu menegur anaknya agar membersihkan biliknya yang kelihatan berserabut itu, kerana beliau merasakan bahawa semua itu memeningkan dan hanya menyakiti matanya. Namun, tanpa kehadiran Taufik, bilik tersebut kini berasa kosong.

Sudah seminggu berlalu sejak Taufik berpindah ke London untuk menyambung pelajarannya di universiti. Zubaidah masih teringat kali terakhir beliau melihat wajah anaknya itu. Kenapa aku sedih?, Zubaidah terfikir. Bukannya tak dapat jumpa Fik selama-lamanya…

Sepucuk surat yang bertajuk “Surat Cinta” menarik perhatian Zubaidah. Beliau mengambilnya lalu membacanya.


                                                                       Surat Cinta

     Kau cantik, kau indah. Macam yang lain. Kenapa aku sayang kau sangat? Ada sesetengah orang kata; apabila kita terasa kehilangan seseorang, sesuatu benda atau tempat, sebenarnya kita mengingati pengalaman dan memori yang telah dilalui bersama orang atau benda tersebut. Aku akan mengingati mu. Aku berikrar, aku berjanji, bahawa aku tidak akan melupakanmu, selama-lamanya.

   Sudah 20 tahun aku bersamamu. Mungkin aku akan jumpa yang lain. Mungkin ada yang berlaut, bergunung, berhutan atau berbandar, tetapi mereka tidak seindah kau. Kau akan sentiasa di hatiku.

   Aku sayang kau sepenuh-penuhnya, Negaraku. Dari kecil sehingga dewasa, aku telah dibesarkan di tanah mu. Keindahan kau tidak boleh dinafikan aku. Namamu juga indah.

  Selamat tinggal, Malaysia.

                                                          Ahmad Taufik Hakim, 1998